Scroll Top

Kelulutologi

K E L U L U T O L O G I #1 : Life is a constant struggle/battle

Kita diberi pilihan. Perjalanan hidup kita bergantung pilihan yang kita ambil. Buat atau tidak mahu buat. Untuk buat pilihan memerlukan tekad, keyakinan dan keberanian. Berani membuat pilihan. Percaturan hidup begitu.

Paling senang pilih tidak buat apa-apa. Jadi penonton diluar gelanggang. Hidup yang monotonous, umpama lagu tanpa irama. Dunia tetap berputar, malam tetap berganti siang. Namun itu bukan pilihan yang merubah apa-apa terutama kehidupan kita dan kehidupan orang lain.

Pilih sesuatu yang memberi munafaat kepada semua.

K.E.L.U.L.U.T.O.L.O.G.Y #2 : Kelulut tanpa sempadan

Sambil berkelana sempat mencari kelulut di bumi Khmer ini. Dahulunya merupakan satu empayar yang besar. Komplek Angkor Wat dan monumen sekitarnya merupakan legasi tinggalan raja-raja mereka. Sempadan empayar tersebut termasuk sebahagian Vietnam, Laos, Thailand dan juga sempadan utara Malaysia.

Di sini kelulut menyaksikan bangun jatuhnya empayar besar tersebut. Saya jumpa banyak kelulut di sekitar Siem Reap termasuk di dalam kawasan runtuhan Kuil-kuil lama empayar Kerajaan Angkor dan Khmer.

Spesis Tetragonilla collina, Lepidotrigona spp. dan beberapa spesis Tetragonula spp. dominan di sini.

Tiada H. itama dan G. thoracica setakat ini. Maklumat diterima mengatakan spesis H. Itama dan G. thoracica tidak melepasi garis sempadan Surathani (Selatan Siam).

Apakah yang menentukan visa kehidupan mereka sehingga garis sempadan itu?

KELULUT.O.LOGI #3 : Cabaran menjadikan kita kuat

Setiap hari kita berhadapan dengan cabaran. Cabaran itu sebagai ujian dan latihan. Latih tubi cabaran menjadikan jiwa raga kental serta tinggi jatidiri. Ia membentuk peribadi. Justeru jangan sesekali lari dari cabaran. Ia merupakan persiapan untuk perjalanan yang panjang.

Kenalan dari Brazil baru-baru ini menghantar beberapa foto kelulut yang beliau ternak sendiri. Spesis Oxytrigona tataira (memang tak ada spesis tersebut di sini). Unik dan menarik. Kelulut ini membawa asid formik dan akan merembeskan asid tersebut kepada penceroboh. Dimaklumkan asid tersebut mampu membakar kulit dan mata. Hebat ciptaan Allah S.W.T.

Namun kita manusia tiada asid formik untuk menghadapi cabaran. Kita ada keinginan dan semangat. Keinginan dan semangat juang itu perlu dibakar. Semangat membara boleh mencairkan apa jua cabaran.

KELULUT.O.LOGY #4 – Ratu bertakhta dihati

Di dalam sistem ‘matriarchy’ serangga sosial tinggi (eusocial), kasta dan peranan/fungsi setiap kasta jelas. Tiga kasta utama kelulut iaitu Ratu (queen), pekerja (worker) dan kelulut jantan (drone). Duduk di kasta tertinggi, ratu memegang tampuk pemerintahan koloni. Hail the queen!

Ratu kelulut dara hanya akan mengawan sekali dengan kelulut jantan. (Disini salah satu perbezaan ratu kelulut dengan ratu lebah madu yang akan mengawan dengan beberapa lebah jantan). Kelulut pekerja (yang juga betina) hasil dari telur yang disenyawakan, manakala kelulut jantan dari telur yang tidak disenyawakan (unfertilized egg).

Ratu kelulut yang telah disenyawakan tidak mampu untuk terbang lagi dan akan tinggal di dalam sarang/koloni. (Disini satu lagi perbezaan dengan lebah madu dimana ratu lebah madu masih berupaya untuk terbang dan meninggalkan sarang).

Bagaimana ratu mengawal koloni? – melalui hormon unik yang dihasilkan oleh ratu.

(Foto dibawah ialah ratu kelulut dari spesis Heterotrigona itama)

KELULUT.O.LOGY # 5 – Barang baik ada harga

Sarang kelulut memang mendapat permintaan tinggi. Pengeluaran madu kelulut pula tidak dapat memenuhi permintaan domestik. Apatah lagi dengan kesedaran yang semakin meningkat (kempen) tentang kebaikan madu kelulut, perhatian terhadap kelulut kian meningkat.

Musim tengkujuh dan banjir memberi banyak musibah kepada penternak kelulut. Ada laporan koloni kelulut tenggelam. Ada laporan koloni kelulut kena curi. Malah banyak lagi cerita yang tidak berlapor.

Di UMT sendiri sebentar tadi, rakan penyelidik Dr. Nur Aida Hashim sentap kerana telah kehilangan 5 koloni kelulut di plot eksperimen beliau. Plot eksperimen di dalam UMT pula tu.Ini bukan pertama kali, tapi sudah dua kali kes kecurian koloni kelulut di dalam kampus. Bukan nilai sarang yang dirunsingkan, tetapi nilai data penyelidikan selama setahun yang hilang bersama hilangnya koloni dikesalkan. Bukan boleh ditukar ganti.

Isu kecurian koloni kelulut sudah lama berlaku. Ia bukan isu remeh. Ia melibatkan kerugian wang, masa dan tenaga. Dalam kes kali ini ia melibatkan kerugian maklumat dan ilmu yang bermunafaat.

Kepada penduduk sekitar Kuala Terengganu, jika ada mendapat tawaran koloni murah atau ada syak wasangka dalam pembelian koloni, mohon helo-helo kepada Dr. Aida dan Dr. Norasmah (no telefon mereka pada foto di bawah).

Kepada insan yang ringan tangan dan ringan tulang mengangkut koloni-koloni tersebut, jika masih ada hati dan budi mohon pulangkan koloni tersebut. Ada jalan penyelesaian. Kita bincang.

Hati-hati semua. Achtung bitte!

KELULUT.O.LOGI #6 – Roda kehidupan

Putaran roda berpusing laju dan kadang-kadang perlahan. Ada juga naik turun dan pasang surutnya. Itulah norma kehidupan. Hati-hati ketika roda berputar laju. Kayuh perlahan akhirnya sampai juga ke destinasi dituju. Namun perlahan sangat pun orang lain sampai dahulu.

Kelulut mempunyai kitar hidup lengkap selama sekitar 42-45 hari (contoh H. itama). Dua kali ganda tempoh dari lebah madu Apis spp. Kitar hidup ini pula bergantung kepada beberapa faktor seperti spesis, persekitaran, sumber makanan dan kelangsungan hidup.

Manusia mempunyai nisbah 50:50 kebarangkalian hasil anak lelaki atau perempuan. Semulajadinya begitu. Bagaimana pula dengan kelulut? Adakah nisbahnya sama? Bagaimana permaisuri menentukan sesuatu koloni itu perlu ada berapa banyak telur pekerja, telur jantan dan telur ratu?

Ratu kelulut yang mengawan (sekali) menyimpan sperma jantan di dalam ruang khas (spermatheca gland), berasingan dari ruang telur. Untuk hasilkan kelulut pekerja (betina), sperma dicampur dengan telur dan diletak di dalam sel telur. Akhirnya menetas jadi kelulut pekerja. Untuk hasilkan kelulut jantan, ratu terus letak telur yang tidak disenyawa (tidak dicampur dengan sperma) ke dalam sel telur.

Bagaiman pula dengan penghasilan kelulut ratu? Apa yang menentukan telur tersebut jadi pekerja betina atau ratu?

Kelulut pekerja akan menyediakan ruang sel telur yang lebih besar. Makanan yang lebih (royal jelly) akan dibekalkan di dalam sel telur tersebut. Telur ini akan menetas dan menghasilkan kelulut ratu. Jadi di persekitaran yang sumber makanan banyak, kecenderungan sesuatu koloni itu untuk ‘pecah koloni’ secara semulajadi tinggi. Penghasilan sel ratu (dan sel jantan) rancak.

Di dalam foto di bawah. Berapa biji telur sel ratu yang boleh dikenalpasti?

KELULUT.O.LOGI # 7 – Parasit atau simbion?
Sarang kelulut tidak ekslusif dan tidak hanya dihuni oleh kelulut sahaja. Malah banyak organisma lain yang menumpang berteduh. Sekali lihat, memang nampak sarang kelulut bersih. Namun ‘berseribai’ dengan bermacam-macam kehidupan. Ada organisma ini boleh dilihat oleh mata kasar dan ada yang kecil halus dan hanya boleh nampak menggunakan mikroskop (mikroskop cahaya atau mikroskop elektron).
Antara organisma yang biasa ditemui di dalam sarang kelulut ialah kutu, kumbang, kulat mutualis dan bakteria. Kehadiran mereka bukan secara kebetulan kerana masing-masing mempunyai peranan. Malah kelulut menjaga mereka dengan baik dan hidup dengan harmoni bersama.
Contoh mikrograf dari mikroskop elektron di bawah ialah sejenis kutu (Crypstostigma – coccids) yang melekat di bahagian abdomen kelulut (Tetragonula fuscobalteata). Kutu dari jenis ini menghasilkan wax dan juga cecair gula yang diambil dan digunakan oleh kelulut. Manakala kutu tersebut jadikan sarang kelulut sebagai teduhan.
Ada kumbang yang makan sisa buangan kelulut. Ada kulat yang memakan kulat parasit, Ada bakteria yang menjadikan nektar madu dan menjadikan madu stabil dan bemacam-macam lagi simbion menarik berlaku di dalam sarang kelulut.
Kehidupan ini amat memerlukan diantara satu sama lain. Hiduplah dengan harmoni. Kita makhluk simbion.
(Mikrograf cun hasil kerja dedikasi Puan Zubaidah Abu Hassan yang duduk berjam-jam ‘skodeng’ Scanning Electron Microscope)

KELULUT.O.LOGI #8 – Ku ingin terbang bebas

Ada satu ciri menarik pada sayap serangga terbang dari kumpulan Hymenoptera (Hymen = membran, pteron = sayap). Kelulut, lebah, semut dan serangga seumpamanya berada di dalam kumpulan ini. Sayap bawah (hind wing) serangga ini mempunyai cangkuk dengan bilangan tertentu. Cangkuk ini dinamakan hamuli.

Terdapat lebih 72 jenis kelulut Indo-Malaya yang sudah direkod dan ada belum di terbitkan (namakan). Setiap jenis kelulut mempunyai bilangan hamuli yang berbeza pada sayap bawah mereka. Bilangan hamuli yang bebeza ini boleh dijadikan maklumat pelengkap kepada pengenalan spesis (taksonomi kelulut).

Contoh di gambar pertama ialah Tetrigona binghami dengan sayap bawah dan atas yang tidak bercantum. Saat T. binghami baru memulakan penerbangan. T. binghami mempunyai 6 hamuli. Contoh mikrograf “scanning electron microscope (SEM)” menunjukkan imej yang lebih jelas cangkuk hamuli pada sayap Lepidotrigona latipes. L. latipes mempunyak 7 hamuli.

Hamuli ini digunakan untuk mencantum sayap atas dan bawah (coupling) justeru dua sayap menjadi satu. Penerbangan lebih mantap (jarak penerbangan, kestabilan penerbangan – angin, draf dll).

Kita tidak punya sayap apatah lagi hamuli. Namun kita perlu mempunyai keinginan dan cita-cita untuk terbang lebih jauh. Angan-angan dan cita-cita itu percuma. Lebarkan sayapmu.

(photo cun SEM ialah hasil dedikasi Puan Zubaidah Abu Hassan. Makmal mikroskopi merupakan rumah kedua beliau)

KELULUT.O.LOGI # 9 – Merah sangat Mak Ngah

Tetragonula melina merupakan salah satu jenis/spesis kelulut Indo-Malaya yang menarik. Keseluruhan badannya warna merah. Bermata hijau. Tengok banyak kalipun tidak puas.

Satu lagi ciri unik dan mempersonakan ialah corong masuk spesis ini yang ber’tanduk’. Jika corong panjang ‘tanduk’ tersebut berlapis-lapis.

Tetragonula melina juga merupakan satu-satunya kelulut dari genus Tetragonula yang mempunyai sarang rapuh (kristal/damar). Spesis lain dari genus ini propolis mereka lembik dan melekit. Ini juga satu keunikan spesis ini.

Oleh yang demikin, spesis ini jarang sekali ditemui dikawasan yang tiada sumber damar atau sekitar kampung/kediaman. Tidak digalakkan diternak kecuali di kawasan yang ada sumber damar.

Kepelbagaian kelulut ini dari segi warna, saiz, habitat, taburan dan beberapa ciri lain menjadikan dunia kelulut ini sejenis serangga yang penuh dengan rahsia dan misteri.

Begitulah dengan kehidupan manusia. Kepelbagaian itu menjadikan hidup ini bewarna warni yang perlu diambil iktibar.

Nota: Photo makro di bawah diambil dari salah satu koleksi kelulut ‘rare’ di Repositori Kelulut Indo-Malaya Sekayu yang bakal di buka secara rasmi tidak lama lagi.

sila ‘share’ jika perkongsian ini memberi munafaat.

KELULUT.O.LOGI # 10 Fakta @ Auta. Tempayan madu plastik.

Pernah suatu ketika isu penggunaan tempayan madu plastik (Polyurethene) yang diletakkan di dalam sarang kelulut hangat dipekatakan. Plastik yang digunakan gred untuk makanan (food grade).

Mengapa tempayan plastik digunakan? Antara lain saya difahamkan untuk keseragaman (1 lapisan tempayan madu). Mudah sedut madu. Dah mungkin juga nampak cantik (astetik).

Apa kesan tempayan plastik terhadap kualiti madu? Itu persoalan paling penting.

Lantas saya bersama beberapa penyelidik dari UMT mengambil inisiatif untuk merungkai polemik tersebut. Perlu ada data yang betul bagi menyokong fakta.

Bercakap tanpa fakta yang betul dan jelas merupakan satu penyelewangan dan boleh menyongsang fikiran umum. Tidak boleh agak-agak dan ikut logik akal.

Beberapa kajian telah dilakukan. Data untuk kandungan Ph, gula, kandungan asid, kandungan air, kandungan mineral, enzim madu dan beberapa lagi ciri (Physicochemical properties of honey) telah dianalisa. Madu dari tempayan plastik vs madu tempayan asli (propolis).

Keputusannya TIADA perbezaan yang ketara/signifikan.

Namun apabila rakan saya Dr Mohd Nizam Bin Lani, pakar mikrobiologi makanan menguji kandungan mikroflora (beneficial microbes), keputusannya amat mengejutkan.

Madu dari tempayan plastik samada mengandungi aktiviti mikrob yang amat rendah atau tidak ada aktiviti mikrob langsung.

Ini maklumat penting. Madu lebah atau madu kelulut berkhasiat kerana sumbangan kesemua mikroflora di dalam madu. Tiada mikrob berguna bermakna khasiat madu pun berkurangan.

Jika hendak madu ori, semuanya perlu ori juga.

(Sila share jika maklumat ini bermunafaat.)

KELULUT.O.LOGI # 11 – Come out and play

Sel telur kelulut yang sudah lama dan hampir mengeluarkan anak biasanya warnanya lebih cerah berbanding dengan sel telur yang baharu.

Ini adalah kerana apabila sudah sampai tempoh untuk menetas, kelulut pekerja akan ‘mengikis’ lapisan atas cerumen sel-sel telur. Membuatkan lapisan sel telur nipis dan mudah untuk dipecahkan oleh pupa nanti.

Jika diperhatikan betul-betul di dalam sel telur di dalam foto di bawah, kita akan dapat lihat beberapa mata anak kelulut (imago). Kesan garisan cerumen di’kikis’ juga agak jelas kelihatan pada sel telur. Bekas sel telur yang sudah digunakan akan dibuang.

Kelulut yang baharu menetas (callows), berwarna lebih cerah. Pigmen belum berkembang lagi. Mereka mempunyai peranan khas di dalam koloni sebelum terlibat di dalam tugasan seterusnya.

Mereka digelar ‘housekeping bee” atau ‘nurse bee”.

Boleh tuan-puan teka apa tugas mereka?

Sila share jika memberi munafaat
(foto kelulut Heterotrigona itama)

KELULUT.O.LOGI # 12 : KEBERSIHAN PALING UTAMA

Kelulut, lebah dan beberapa serangga lain mempunyai satu struktur seperti sikat di kedua kaki hadapan. Fungsinya ialah untuk membersihkan antena.

Kotoran dan debunga yang melekat pada antena akan disisir melalui celahan kaki yang mempunyai bulu-bulu halus seperti sikat.

Antena merupakan deria utama kelulut. Deria bersih akan membantu kelulut melaksanakan tugas harian dengan baik.

Seperti kelulut, kita perlu memastikan deria dan pancaindera kita dalam keadaan baik juga.

KELULUT.O.LOGI # 13 – Bagaimana kelulut bernafas?

Seperti organisma dan makluk ciptaan Allah yang lain, kelulut perlu bernafas. Kelulut mempunyai sistem pernafasan yang berbeza dengan kita. Kelulut tiada jantung, tiada hidung.

Jadi bagaimana kelulut bernafas?

Sistem pernafasan kelulut melalui sistem yang dipanggil salur/tiub trakea di dalam badan mereka (thorax dan abdomen). Udara disalurkan ke seluruh badan melalui jalinan sistem ini.

Bukaan dimana pertukaran udara (oksigen dan karbon dioksida) berlaku melalui struktur yang dipanggil spirakel (spiracles). Bukaan ini terdapat di bahagian tepi torak dan abdomen.

Makrograf mikroskopi elektron di bawah menunjukkan salah satu bukaan spirakel di bahagian torak (di bawah tapak sayap). Terdapat juga debunga/pollen yang melekat pada bulu-bulu sekitar torak (bawah kanan).

Indah ciptaan Allah.

KELULUT.O.LOGI # 14 – Pancaindera kelulut

Kelulut mempunyai sepasang sesungut yang disebut antena. Sesungut ini merupakan deria utama kelulut. Tanpa antena ini kelulut akan hilang arah dan tujuan.

Ia digunakan untuk menghidu dan kadang-kadang untuk merasa dan juga mendengar (getaran). Antena ini dilengkapi oleh bulu-bulu halus dan receptor (oldfactory receptor) bagi menghidu molekul bauan termasuk bau feromon.

Selain daripada itu antena juga boleh bertindak sebagai sensor kelembapan yang boleh mengesan perubahan kandungan wapair udara.

Antena kelulut jantan dan betina berbeza dari segi panjang. Kelulut betina mempunyai 12 segmen (flagellum, pedicel dan scape) manakala kelulut jantan 13 segmen.

Ini menjelaskan kenapa kelulut tidak sesat pulang kesarang atau koloni lain. Ada lebuhraya feromon spesifik (unique and specific pheromone highway) yang telah disiapkan oleh kelulut peninjau (scout stingless bee) yang kerjanya membuat lebuhraya ini setiap hari.

Lebuhraya kelulut percuma, lebuhraya kita kena tol.

KELULUT.O.LOGI #15 – Warna-warna kehidupan

Keunikan madu kelulut selain dari rasa, bau, tekstur dan aroma yang berbeza ialah perbezaan warna. Madu kelulut mempunyai gradien warna yang besar.

Ada madu kelulut berwarna jernih, kuning, merah, hitam gelap malah saya sendiri pernah jumpa madu kelulut warna pink (Dari sarang Tetrigona apicalis di Felda Kahang Timur, Johor). Ciri kualitatif madu kelulut ini membuatkan madu kelulut itu sendiri sesuatu yang istimewa.

Dari pemerhatian, perbezaan warna madu kelulut ditentukan oleh beberapa faktor seperti spesies kelulut, lokasi, sumber dan musim.

Spesies sama di lokasi yang sama warna madu berbeza. Madu dari kantung madu bersebelahan pun warna berbeza. Apatah lagi madu kelulut dari lokasi, sumber dan musim berbeza.

KENAPA WARNA MADU BERBEZA?

Warna madu kelulut amat berkait rapat dengan sumber botani/tumbuhan dimana kelulut mengambil nektar. Mineral (ash content) menentukan perbezaan warna tersebut.

Secara umumnya warna madu yang gelap mengandungi kandungan mineral yang tinggi (contoh potassium, manganese, iron, sodium dll). Dikatakan kandungan antioksida juga tinggi di dalam madu berwarna gelap.

Tempoh penyimpanan juga boleh mempengaruhi perubahan warna madu dari terang kepada lebih gelap. Aktiviti dan tindakbalas bahan fenolik, asid organik, peptida dan juga enzim mempengaruhi perubahan warna berlaku.

Adakah warna boleh digunakan sebagai kayu ukur kualiti madu kelulut? Soalan ini selalu ditanya dan menjadi bahan perbincangan.

Madu bermacam warna. Kita pun melalui kehidupan dengan penuh berwarna-warni.Tanda kebesaran Ilahi.

Wallahuaklam.

(sampel madu kelulut di bawah merupakan sampel madu ketika siri Kembara Kelulut Selatan Malaysia).

KELULUT.O.LOGI # 16 – Kelulut mempelbagai sumber

Untuk meneruskan kelangsungan hidup, kelulut perlu kepada beberapa sumber. Sumber-sumber ini memastikan sesuatu koloni itu lestari dan mandiri.

Antara sumber penting ialah : Nektar/sari bunga (madu), Debunga/pollen (roti lebah), Sumber air (bahan asas), Mineral, resin/damar (sumber utama propolis), minyak sari (essence oil) dan beberapa lagi bahan tambahan.

Baru-baru ini ketika di Pulau Perhentian, kelihatan kelulut begitu seronok mengerumuni buah/putik cempedak (Artocarpus integer) yang sudah buruk. Buah dipenuhi oleh kulat (Rhizopus artocarpi) di bahagian kulit. Musim lembab yang baru berakhir menjadikan buah cempedak senang diserang kulat.

Kulat tersebut dianggap suatu yang tidak baik kepada buah cempadak. Penanam cempedak pasti tidak gembira. Namun kulat tersebut menjadi salah satu sumber protin penting kepada kelulut.

Kerumunan kelihatan lebih meriah sebelah pagi. Bau cempedak yang semerbak pun lebih kuat diwaktu pagi.

Spora-spora kulat berwarna hitam penuh dikaki (pollen basket) kelulut-kelulut pekerja. Pasti penuh tempayan debunga di dalam koloni dengan roti lebah. Tentu roti lebah berwarna hitam.

Di dalam kehidupan harian kita peristiwa sebegini kerap berlaku. Your loss is another person’s gain. Sesuatu yang tidak baik di suatu pihak, menjadi keuntungan di pihak lain.

Saya tertanya-tanya. Bagaimana agaknya rasa roti lebah dari spora kulat ini?

KELULUT.O.LOGI # 17 – EDUKSI KELULUT

Sistem eduksi kelulut merupakan salah satu cara yang amat digalakkan. Teknik ini bertujuan untuk menggandakan koloni dan mendapatkan madu/roti lebah dari koloni liar dengan gangguan yang minima terhadap koloni asal.

Sistem ini melibatkan pemasangan kotak atau botol atau bekas berongga dihadapan corong sarang kelulut. Sarang kelulut asal/induk yang dipilih boleh terdiri dari sarang liar atau sarang yang telah diternak.

Tempoh masa eduksi dikira berjaya (dimana kelulut dari sarang induk berpindah masuk ke dalam kotak eduksi) bergantung kepada beberapa faktor.

Antara faktor tersebut ialah kekuatan koloni, sumber persekitaran, cara pemasangan kotak eduksi dan saiz kotak eduksi yang digunakan.

Buat masa ini tidak ramai penternak kelulut mengamalkan teknik ini di atas beberapa sebab. Tempoh yang agak lama untuk koloni berpindah ke kotak eduksi, vandalisma (kecurian) dan mungkn juga tidak yakin teknik ini boleh digunakan merupakan faktor.

Dari pemerhatian terhadap cubaan di sekitar kampus utama UMT Gong Badak selama 3 tahun, tahap kejayaan sistem eduksi ini berbeza-beza. Koloni yang dicuba ialah dari jenis liar Tetragonula fuscobalteata dan Heterotrigona itama.

Memandangkan teknik ini tidak memerlukan kos dan sistem yang rumit, ia amat sesuai dan amat digalakkan untuk dicuba. Sistem ini mampu memastikan kelestarian kelulut terjamin.

KELULUT.O.LOGI # 18 – Kita melihat tetapi tidak nampak.
.
.
Kita lihat bunga berbagai warna. Warna yang menarik ini sebenarnya bukan untuk kita.

Evolusi dan penyesuaian warna-warni bunga ini bertujuan menarik agen-agen pendebunga seperti kelulut untuk singgah. Cara unik tumbuhan menyambung zuriat.

Mata kita dan mata kelulut tidak sama. Mata kita melihat warna pada bunga pun berbeza. Dengan mata dan otak yang paling maju, penglihatan manusia hanya terhad kepada cahaya nampak (visible light) sahaja. Julat spektrum di antara violet dan merah.

Kelulut yang mempunyai mata kompoun dapat mentafsir warna dari julat spekrum yang lebih luas. Mereka dapat melihat warna yang manusia tidak dapat lihat iaitu ultra-violet (UV).

Ini bermakna bunga yang kita lihat berwarna kuning, tidak dilihat oleh kelulut sebagai bunga yang berwarna kuning.

Warna-warna UV pada bunga ini memandu kelulut mendarat tepat ke sasaran dimana sumber makanan berada. Kedua bunga dan kelulut mendapat faedah. Tumbuhan didebungakan dan kelulut mendapat makanan.

Hubungan dan kaitan rapat yang memberi munafaat kepada kedua belah pihak.

Hubungan rapat, hidup berkat.
(makrograf SEM = Tetragonula fuscobalteata)

KELULUT.O.LOGI #19 – Bunga tidak mekar sentiasa
.
.
Kelulut dan bunga amat berkait rapat. Bunga memberi sumber kepada kelulut (nektar dan debunga) manakala kelulut sebagai agen pendebungaan.

Tidak semua bunga akan dilawati oleh kelulut. Hanya bunga tertentu dan waktu terntentu sahaja akan dilawati oleh kelulut.

Bunga mesti bersedia untuk dilawati.

Hanya bunga yang kembang (anthesis) sahaja akan disinggahi oleh kelulut. Kelulut faham ‘signal’ yang dihantar oleh bunga ini. Kelulut tidak akan mendapat apa-apa dari bunga jika tidak kena waktu yang sesuai.

Nektar atau cairan pemanis tumbuhan pula telah digunakan sebagai ‘umpan’ kepada agen-agen pendebunga sejak jutaan tahun lalu.

Bukan semua bunga ada nektar. Ada tumbuhan yang mempunyai nektar pada bunga itu sendiri dan ada juga nektar (nectary gland) yang tidak terdapat pada bunga (extrafloral nectaries).

Pokok akasia sebagai contoh mempunyai nektar pada pangkal daun (petiole).

Persekitaran dan pemilihan tanaman bunga yang betul sebagai bantuan (supplementary plants) kepada kelulut akan memastikan kelestarian kelulut.

KELULUT.O.LOGI # 20 – To know kelulut is to love kelulut.
.
.
Kebiasaanya apabila kita melakukan sesuatu perkara yang kita suka atau minat, ia pasti akan memberikan hasil yang baik juga. Jika sesuatu itu dibuat bukan kerana minat, kerana dipaksa atau disuruh-suruh sebagai contoh, hasilnya pun tidak seberapa.

Tiada keikhlasan hati. Buat pun acuh tak acuh sambil lewa.

Begitu juga dengan ternakan kelulut. Jika nawaitu asal hanya berpaksi keuntungan semata, pulangannya pun tidak kekal lama. Buat kerana ikutan. Tidak ikut rukun-rukun yang betul ternak kelulut.

Perlu jatuh cinta dengan kelulut. Sayangi kelulut. Kenal hati budi kelulut. Tahu keperluan mereka. Kelulut juga makhluk yang perlukan perhatian. Insyaallah, hasil dan pulangan berpanjangan.

Kebajikan mereka kena dijaga. Ini akan menjamin kelestarian. Tanda-tanda kemerosotan kelulut di habitat asal sudah ada. Kreativiti dan inovasi ke arah kelestarian kelulut perlu diterokai.

Banyak tempat didapati saiz log yang dibekalkan semakin besar. Penjejak kelulut biasanya akan pilih log kecil dahulu. Bila tiada pilihan balak 3-4 pemeluk pun akan jadi habuan juga.

Dalam mencari keuntungan, jangan lupa untuk jaga dan pelihara khazanah alam ini. Biar generasi mendatang dapat melihat keindahan kurniaan Tuhan.

KELULUT.O.LOGI # 21 – Penyamaran biologi
.
Ketika bermakro sarang Tetragonilla collina, kelihatan beberapa ekor semut merah keluar masuk sarang kelulut tersebut. Kelulut pula seolah-olah tidak ambil hirau kehadiran semut tersebut.

Semut yang mempunyai kepala dan abdomen hitam serta thorak merah kelihatan seperti semut Red Imported Fire Ant (RIFA) yang terkenal sebagai perosak kepada tanaman dan ternakan.

Semut ini bukan berasal dari sini. Ia berasal dari Amerika Selatan.

Kehadiran semut tanpa disedari oleh kelulut menampakkan ciri-ciri peniruan biologi (mimicry). Mungkin mereka berjaya meniru bau kelulut itu sendiri. Kaedah peniruan biologi ini banyak dilakukan oleh pemangsa-pemangsa kelulut yang lain.

Semut ini perlu diperhatikan. Dalam jumlah kecil dan sedikit mungkin tidak akan menjadi masalah kepada kelulut. Langkah pencegahan awal perlu dilakukan.

Di dalam kes kelulut, pengwapan bahan kimia (chemical fumigation) tidak digalakkan. Cara seperti umpan (racun) semut dilaporkan memberi kesan yang optimum mengawal semut ini.

KELULUT.O.LOGI #22 – Rahsia heksagon lebah dan kelulut
.
.
Kita selalu lihat bentuk geometri heksagon yang ikonik dikaitkan dengan lebah dan juga kelulut. Bentuk heksagon ini boleh ditemui pada sel penyimpanan makanan (hanya lebah), sel telur dan juga mata kompoun lebah dan kelulut.

Apa kelebihan bentuk geometri heksagon ini?

Bentuk heksagon jika dicantumkan tidak memberi ruang kosong antara sel -sel. Ini menjimatkan ruang. (Namun bentuk tigasegi dan empatsegi juga tidak memberi ruang kosong antara sel.)

Ahli matematik telah membuktikan secara ilmiah bentuk heksagon menggunakan bahan yang kurang bagi mendapatkan isipadu yang sama berbanding bentuk tigasegi atau empatsegi.

Bagi kelulut atau lebah, wax yang menjadi bahan asas struktur telur sarang amat mahal nilainya. Untuk menghasilkan 1 ounce wax mereka menggunakan 8 ounce madu.

Struktur berbentuk heksagon juga amat kuat dan kukuh. Di dalam kes lebah, 100 gm sarang wax boleh menyokong sehingga 4 kg madu.

Bentuk heksagon merupakan sistem geometri binaan yang amat berkesan.

Lebah dan kelulut sudah lama menyedari dan menggunakan bentuk heksagon ini di dalam sistem kehidupan mereka. Manusia terpaksa berfikir dan membuktikan dengan formula matematik akan hal ini.

Bagaimana mereka tahu?

Lebah dan kelulut antara haiwan yang disebut di dalam Al-Quran. Mereka mendapat wahyu terus dari Allah. S.W.T.

KELULUT.O.LOGI # 23 – Madu dari muntah kelulut
.
.
Kita mengetahui bahawa madu berasal dari manisan bunga (nektar) dan juga cairan tumbuhan (plant sap). Proses pertukaran cairan tadi berlaku di dalam saluran perut atau lebih tepat lagi saluran esofagus.

Allah S.W.T telah menciptakan sistem esofagus kelulut sebagai kilang memproses nektar yang paling unik. Di dalam saluran tersebut terdapat populasi mikrobiota yang pelbagai.

Tugas mikrob itu spesifik. Tukar nektar (sukrosa – disakarida) kepada madu (fruktosa, glukosa dll. – monosakarida). Proses ini dibantu oleh enzim yang juga spesifik fungsinya (invertase).

Proses ini tidak habis di situ. Kelulut yang membawa pulang nektar akan ‘memuntah’kan manisan tadi dan di sambut oleh kelulut pekerja (nurse bee). Proses ini akan diulang beberapa kali (muntahan dan pemprosesan perut).

Barulah madu tadi dimasukkan ke dalam tempayan madu untuk simpanan. Kelulut pekerja memastikan kandungan air mencapai piawaian mereka sebelum tempayan ditutup.

Cairan di dalam tempayan yang tertutup inilah dipanggil madu. Setengahnya panggil madu ‘matang’.

Dari penceritaan proses penghasilan madu kelulut ini, adakah ia masih dikira sebagai cairan ‘muntah’ kelulut?

(Foto = kelulut pekerja (nurse bee) Tetrigona apicalis sedang memeriksa madu di dalam kantung ‘kristal’ mereka.

KELULUT.O.LOGI # 24 – Madu, superfood yang tiada tarikh lupus.

Kebanyakan bahan makanan mempunyai jangkahayat penyimpanan (shelf life) yang biasanya dinyatakan sebagai tarikh lupus.

Madu makanan istimewa dan amat unik. Sesuailah ia dinobatkan sebagai salah satu ‘superfood’. Ia antara beberapa bahan makanan yang tidak akan rosak secara semulajadi ataupun ringkasnya tidak mempunyai tarikh lupus.

Ada laporan dimana madu ditemui di dalam balang yang diperbuat daripada tembikar berusia 5,500 tahun. Madu tersebut masih utuh dan mengekalkan ciri-ciri dan kualiti madu.

Bagaimana ini boleh berlaku?

Salah satu ciri madu ialah ia mempunyai bahan pengawet semulajadi. Semasa porses penukaran nektar kepada madu acid glukonik dihasilkan. Kehadiran asid ini akan merendahkan pH yang menghalang bakteria, mikrob, kulat berkembang.

Selain daripada pH yang rendah, hidrogen peroksida yang juga merupakan bahan akti-bakeria juga dihasilkan. Bahan ini juga bertindak sebagai bahan pengawet semulajadi.

Carilah madu lebah atau kelulut yang asli yang tidak diproses (raw honey). Khasiatnya berlipat kali ganda.

(photo – kelulut Tetrigona apicalis pekerja sedang menutup/membuka kantung madu yang berbentuk seperti kubah)

KELULUT.O.LOGI # 25 – Tanpa kelulut siapalah kita
.
.
Tanpa kita sedari serangga seperti kelulut menjadi penyambung kelangsungan hidup banyak mahluk lain. Peranan yang dimainkan oleh kelulut di dalam kelestarian alam sekitar amat kritikal. Mereka merupakan salah satu agen pendebunga yang cekap. Itu sebenarnya tugas utama mereka.

” Jika lebah pupus daripada mukabumi ini, manusia hanya mempunyai empat tahun sahaja untuk hidup” kata-kata Ahli Fizik terkemuka Albert Eisntein. Kata-kata ini dirujuk ketika belaku fenomena kemusnahan koloni lebah (colony collapse disorder-CCD) yang teruk.

Satu pertiga daripada rantaian bekalan makanan dunia bergantung kepada agen pendebung untuk dihasilkan. Serangga seperti kelulut memastikan tanaman buah-buahan hidup berterusan. Tanpa serangga pendebung, tiada buah-buahan dan kelangsungan hidup tumbuhan. Tiada tumbuhan, tiada haiwan ternakan.

Serangga pendebunga memastikan kelangsungan hidup 70 daripada 100 species tanaman. Hasil daripada tanaman ini memastikan 90% populasi dunia mendapat bekalan makanan makanan.

Tiada serangga pendebunga, putus rantaian makanan. Tiada lagi kehidupan.

Kita jaga tali kehidupan ini supaya tidak putus. Cintailah kelulut kita.

KELULUT.O.LOGI # 26 – Saat akhir seekor permaisuri
.
.
Pagi tadi sebelum bertolak ke pejabat, jenguk satu koloni kelulut di laman rumah. Koloni sudah 3 tahun ditepi pagar, di bawah teduhan pohon rendang. Sarang unik, di dalam sarang anai-anai lama. Tiada kotak ‘topping’. Memang koloni itu untuk liburan dan terapi pagi.

Hari ini tiada kelihatan seekor pun kelulut keluar masuik. Dua tiga hari lepas sudah perasan frequensi keluar masuk kelulut pekerja agak berkurangan. Hati tidak senang.

Saya minta bantuan pelajar Cik Ainin Hanani untuk buat ‘post-mortem”. Kebetulan beliau memang perlukan telur dan makanan kelulut untuk projek ‘in-vitro queen rearing”. Sama-sama bedah siasat sarang dan cari asbab.

Di antara celah-celah sel telur, kelihatan permasuri kelulut berjalan amat lesu. Sayap sudah hilang satu dan sebelah lagi koyak rabak. Tampak tanda-tanda dihujung usia. Tumbang jua akhirnya.

Beberapa lapisan telur masih berbaki. Ada beberapa sel telur permaisuri bakal pengganti. Banyak sekali kelulut jururawat (nurse bees) yang berlegar-legar tanpa arah tuju.

Jangka usia permaisuri kelulut 3 tahun atau lebih. Kemungkinan besar soldadu dan pekerja bersama permaisuri dara sudah meninggalkan sarang mencari istana baharu.

Patah tumbuh hilang berganti.

KELULUT.O.LOGI #27 – Odontotrigona haematoptera, rezeki yang tidak diduga

Banyak kali rezeki itu datang secara tidak diduga dan tidak disangka. Semua pemberian dan anugerah tersebut diterima dengan hati yang terbuka. Rezeki datang berbagai-bagai rupa.

Perjalanan ke Kuching Sarawak pada 24-27 April 2017 membawa harapan dan misi khas. Sudah lama pendam keinginan untuk ke sana mencari dan merekod kelulut Borneo yang jarang kita lihat dan temui.

Borneo memang syurga kelulut. Ia menyimpan banyak khazanah alam.

Tetragonilla rufibasalis, kelulut bulu lebat. Inilah objek utama buruan. Melalui satu gambar yang dikirim oleh Cikgu Aduka Simoh membuat hati berdebar-debar. Justeru terus pasang angan-angan dan impian.

Namun kita hanya mampu merancang. Lawatan pertama ke ladang ternak kelulut di Bau tidak nampak kelibat kelulut yang dicari. Pulang tangan kosong. Janji temu sekali lagi keesokan hari.

Hari kedua satu jam perjalanan ke lokasi yang ditetapkan. Cikgu Residen (rakan Cikgu Aduka) sudah siap membuat umpan. Tak sampai 10 minit penuh kelulut berbagai spesies datang.

Kelulut pertama yang datang terbang dan hinggap di serbuk kayu log berbaki madu. Hati berdebar-debar. Gerangan kelulut jenis apakah ini? Sayap perang hujung keputihan. Badan keseluruhan hitam.

Nah. Yang dicari tidak mendatang. Yang mucul kelulut Odontotrigona haematoptera, kelulut dalam ‘wish list’ yang ingin dirakam. Kelulut ‘rare’. Namun sarang asal tidak ditemui.

Asalnya kelulut jenis ini objek buruan di Miri. Rakan pencari kelulut di Miri pernah tunjukkan corong sarang. Belum pernah ada rekod di Semenanjung Malaysia.

Alhamdulillah, panjatkan kesyukuran. Girang hati tidak kepalang. Berkat doa rakan-rakan. Rezeki, anugerah alam.

KELULUT.O.LOGI #28 – Kepelbagaian spesies kelulut Indo-Malaya
.
.
Sepanjang kembara kelulut di Borneo bermula dari tahun 2016-2017, beberapa spesies kelulut Indo-Malaya telah ditemui dan direkodkan. Kelulut-kelulut Borneo setakat ini belum lagi direkodkan di Semenanjung Malaysia.

Kumpulan pemburu kelulut Nusantara UMT telah mengambil inisiatif dan berjaya merakamkan foto-foto makro yang berwarna warni kelulut-kelulut tersebut. Foto-foto makro tersebut bertujuan tidak lain dan tidak bukan untuk tatapan umum dan generasi mendatang.

Setakat ini koleksi foto makro kelulut Borneo yang berada di dalam simpanan ialah kelulut dari jenis Geniotrigona lacteifasciata, Tetragonula sirindhornae, Tetragonula melanocephala, Geniotrigona incisa dan yang terbaru Odontotrigona haematoptera.

Lima kelululut Borneo ini mempunyai ciri-ciri keunikan mereka masing-masing. Sarang mereka berbagai rupa. Warna badan mereka juga menjadi halwa mata. Indah dan menawan.

Masih ada tiga lagi kelulut Borneo di dalam ‘wish list’ yang telah dijumpai (spesimen hidup) oleh peminat kelulut di Sabah dan Sarawak. Hanya foto dari telefon bimbit menjadi igauan dan mimpi di malam hari. Belum ada kesempatan dan peluang lagi untuk memburu kelulut-kelulut istimewa tersebut.

Homotrigona lutea, Tetragonilla rufibasalis dan Tetragonula sarawakensis.

Kepelbagaian dan keunikan kelulut-kelulut ini, termasuk kelulut di Semenanjung Malaysia dan nusantara mengajak kita berfikir dan menghayati anugerah kejadian.

Setiap kejadian makluk itu tidak pernah sia-sia. Ada pengajaran dan iktibar yang perlu diteliti dan dipelajari. Rahsia alam itu luas.

Doakan semoga diberi kekuatan, kesihatan tubuh badan dan lapang ruang masa untuk memburu kelulut-kelulut di Nusantara. Semoga usaha ini dapat memberikan kesedaran dan minat mendalam ke arah melestarikan khazanah alam.

Related Posts

Leave a comment


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.